Rabu, 5 Disember 2018 | 9:35pm
PARIT BUNTAR 08 OKTOBER 2018. (KABURKAN MUKA) Anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemilik premis baja padi berusia 49 tahun (kanan) kerana cuba memberikan rasuah sebanyak RM30,000 kepada anggota penguatkuasa. NSTP/L. MANIMARAN

Isu pinda laporan audit 1MDB: SPRM masih rakam keterangan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sumber berkata, semua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak minggu lalu.

Katanya, antara individu yang sudah dirakam keterangan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; pegawai Jabatan Audit Negara dan pegawai Kementerian Kewangan.

“Ramai sudah dipanggil selepas SPRM memulakan siasatan sejak minggu lalu.

“Kes baru di peringkat proses rakam keterangan... macam mana nak tuduh, lagipun kertas siasatan belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Sebuah portal berita dalam talian melaporkan SPRM akan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Hari ini, SPRM memanggil Ambrin dan Dzulkifli untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; Ali dan Arul Kanda.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

Berita Harian X