Khamis, 6 Disember 2018 | 7:24pm

Pengarah syarikat, ejen penghantar barang bebas hukuman mati

GEORGETOWN: Pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dan ejen penghantar barang menarik nafas lega selepas mereka dilepas dan dibebaskan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini, daripada tuduhan mengedar 158 kilogram kokain dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azmi Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Yu Beng Chuah, 51, dan Azhari Arshad, 47, didapati tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Azmi dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah terbabit berada dalam kawalan kedua-dua tertuduh.

“Selain itu, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama untuk melakukan kesalahan terbabit,” katanya.

Beng Chuah yang juga pengarah syarikat jurutera dilihat tersenyum sejurus mendengar keputusan terbabit.

Kegembiraan itu turut diraikan ahli keluarga dan pekerja syarikat yang hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan kes terbabit.

Namun, Azhari yang bekerja sebagai ejen penghantar barang dilihat terus menutup mukanya menggunakan tuala kecil dan beredar dari perkarangan mahkamah.

Mengikut pendakwaan, mereka menghadapi pertuduhan bersama mengedar 158,612 gram dadah di stor Logistik Kompleks Pencegah Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jalan Perusahaan Prai pada 24 Februari 2016.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Beng Chuah dan Azhari diwakili peguam Eddy Kwang dan Y Anbanathan manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazir Amir Johari.

ANGGOTA polis membawa Yu Beng Chuah (dua dari kiri) dan Azhari Arshad ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Georgetown. - NSTP/Mikail Ong
Berita Harian X