Khamis, 6 Disember 2018 | 7:49pm
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

4 lelaki bertopeng tembak bot tunda dalam cubaan rompak

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan kumpulan empat lelaki yang berpakaian hitam, bertopeng dan bersenjata api dipercayai cuba melakukan rompakan ke atas bot tunda di perairan Pegasus Reef, dekat Kinabatangan, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bot tunda Magtrans II yang dinaiki seorang tekong dan 13 kru dari Bintulu, Sarawak sedang dalam pelayaran ke Papua New Guinea untuk mengambil kayu balak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, ketika berada di perairan Pegasus Reef, bot tunda terbabit ditembak dua kali oleh empat lelaki berkenaan yang menaiki sebuah bot laju dipercayai cubaan untuk melakukan rompakan.

“Satu das tembakan terkena paha sebelah kiri Didy Saviady, 40-an, yang juga tekong bot tunda berkenaan.

“Bot suspek kemudian menghampiri bot tunda terbabit sebelum suspek naik ke atas bot tunda manakala semua kru bot tunda bersembunyi di dalam bot dan mengunci semua pintu,” katanya.

Omar berkata, ketika empat suspek menaiki bot itu, seorang kru yang berada di tingkat tiga bot berkenaan melepaskan tembakan kepada suspek menggunakan ‘flare gun’ sebanyak 10 das.

“Sebaik tembakan itu dilepaskan menggunakan flare gun, keempat-empat suspek yang berada di atas bot tunda terjun ke laut dan melarikan diri menaiki bot laju.

“Selepas itu, bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) tiba dan membawa mangsa yang terkena tembakan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, bot tunda itu adalah milik sebuah syarikat yang berada di Bintulu, Sarawak dan dalam pelayaran untuk mengambil kayu balak di Papua New Guinea.

“Bot itu bergerak pada Ahad lalu jam 8 pagi dari Bintulu dan selepas empat hari perjalanan, pada jam 6.30 petang, semalam, bot itu ditahan empat lelaki yang menaiki bot laju menggunakan empat enjin sangkut.

“Keempat-empat suspek berpakaian hitam dan bertopeng dengan lengkap bersenjata api. Identiti semua suspek belum dikenal pasti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (FIPA) 1971,” katanya.

Berita Harian X