Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:37pm

Anggota RELA nafi diberi rasuah untuk tarik balik laporan polis terhadap Datuk Seri

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sebelum ini diserang dan dicederakan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri menafikan bahawa ada unsur rasuah apabila dia menarik balik laporan polis terhadap lelaki itu.

Melvin Cheong Mun Khai, 22, berkata demikian melalui pernyataan medianya ketika ditemui bersama peguamnya, Yusof Mohamed Salleh di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Cheong mendakwa spekulasi bahawa terdapat unsur rasuah di sebalik penarikan laporan polis itu adalah tidak benar.

“Saya tidak menerima sebarang habuan kewangan mahupun dalam bentuk harta benda kerana menarik balik laporan itu pada 18 Ogos lalu, sebaliknya saya melakukannya dengan sukarela.

“Sebab utama saya menarik laporan adalah kerana komitmen bekerja di waktu malam sehingga pagi dan ini menyukarkan saya untuk ke mahkamah memberi keterangan dan memantau perkembangan kes,” katanya.

Cheong juga mendakwa tidak mahu menjadi boneka mengikut telunjuk pihak tertentu dalam kes itu.

“Saya menegaskan bahawa di peringkat pertengahan prosiding dan dua lagi rakan setuju tertuduh membayar kompaun untuk menyelesaikan pertuduhan bagi kesalahan mencederakan kami.

“Bagaimanapun pihak atasan RELA memaksa kami untuk menolak tawaran itu. Ini adalah kesalahan individu terhadap individu lain. Saya berpendapat bahawa pihak tertentu tidak perlu campur tangan dalam membiarkan kami membuat pilihan,” katanya.

Tambah Cheong, pada masa material dia tidak pernah menyatakan ada memaafkan tertuduh.

Oleh itu dia berharap supaya pihak berkuasa dan masyarakat jelas dan tidak menimbulkan spekulasi yang menjejaskan diri dan pekerjaannya.

Pada 7 September lalu, Cheong sudah menarik balik laporannya polisnya terhadap Datuk Seri Liow Soon Hee, 30.

Majistret Mahkamah Ampang, Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepaskan tanpa membebaskan Liow daripada dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan menghalang Cheong menjalankan tugas.

Perbicaraan membabitkan dua lagi mangsa syang juga anggota RELA iaitu Lee Weng Poh, 28, dan Leong Jun Jie, 22, diteruskan di mahkamah itu.

Liow yang tidak mengaku bersalah didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Cheong, Lee dan Leong di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang di sini, jam 6.30 pagi pada 27 Oktober 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Liow didakwa dengan niat menyerang penjawat awam iaitu Cheong yang menjalankan tugasnya sebagai anggota RELA di tempat, waktu dan tarikh sama.

Berita Harian X