Sabtu, 8 Disember 2018 | 12:21pm
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah (dua dari kiri) bersama Pengerusi PERKEP, Datin Diana Lee Dennis @ Abdullah (dua dari kanan) hadir pada program gotong-royong anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah di Taman Awam Teluk Likas, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

Polis sahkan hanya tiga dipercayai hilang

KOTA KINABALU: Polis hari ini mengesahkan hanya tiga nelayan yang dipercayai hilang di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, malam Rabu lalu berhampiran kejadian serangan ke atas sebuah bot tunda oleh sekumpulan empat lelaki lengkap bersenjata api.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata ada pelbagai khabar angin yang diterima termasuk ada yang menyatakan mereka diculik dan dibawa ke negara jiran namun setakat ini belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh ahli keluarga atau mana-mana pihak.

“Difahamkan, sekarang pula tiga mangsa yang dikatakan diculik dan bukannya empat seperti yang dilaporkan semalam. Kita tidak dapat mengesahkan fakta yang sebenar selagi tiada laporan polis secara rasmi dibuat.

“Namun ketiga-tiga (mangsa) ini tidak dapat dikesan dan tidak dapat dihubungi. Jadi kita tunggu perkembangan selanjutnya dan setakat ini siasatan dibuat di bawah kes orang hilang,” katanya ditemui media selepas menghadiri program gotong-royong anjuran Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sabah di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya yang juga merangkap Pengerusi PERKEP, Datin Diana Lee Dennis @ Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Mengulas lanjut berhubung kes itu, Omar berkata, pihaknya hanya dapat mengesahkan kejadian itu sekiranya pihak polis menerima panggilan daripada suspek yang menyatakan bahawa mereka telah mengambil mangsa dan dibawa ke mana-mana tempat persembunyian.

“Namun sehingga kini kita tidak menerima laporan. Ada juga semalam menyatakan bahawa pihak keluarga mangsa menerima panggilan daripada suspek tetapi selepas kita temuramah salah seorang isteri mangsa yang hilang, dia menafikan ada menerima panggilan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, bot nelayan yang ditemui namun tiada orang di dalamnya kini sudah dibawa ke jeti Sandakan dan diserahkan kepada pemiliknya.

Semalam, NSTP melaporkan empat termasuk tekong dan tiga nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka ditemui kosong berhampiran lokasi kejadian serangan sebuah bot tunda Magtrans II.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu lalu, bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia itu dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, sebuah bot warna hitam dinaiki empat lelaki lengkap bersenjata panjang jenis raifal M16 menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan lalu melepaskan tembakan.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda dikenali sebagai Didy Saviady, 40, cedera di paha selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh suspek terbabit manakala semua kru selamat.

Sementara itu, mengulas berhubung program gotong-royong itu, Omar berkata ia adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga kebersihan pantai di negeri ini.

“Selain membersihkan pantai, program ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya untuk kita menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya kawasan pantai dan kita bertuah kerana dikurniakan dengan pantai yang indah.

“Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab bersama dan saya menyeru semua pihak menjaga pantai dan kawasan sekitar bandar kita,” katanya.

Berita Harian X