Sabtu, 8 Disember 2018 | 4:47pm
BOT nelayan yang ditemui tanpa kru di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan. Gambar kecil (dari kiri) Heri Ardiansyah, Hariadin dan Jari Abdullah. - NSTP/Hazsyah Abdul Rahman

Tiga nelayan hilang warga Indonesia

SANDAKAN: Tiga kru bot nelayan yang dipercayai hilang ketika di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, berhampiran lokasi sebuah bot tunda diserang empat lelaki bersenjata pada pada Rabu lalu, adalah warga Indonesia.

Sumber memberitahu NSTP, tiga nelayan terbabit dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19; Jari Abdullah, 34 dan Hariadin, 45, ketiga-tiganya bekerja sebagai nelayan di Sandakan.

“Dalam kejadian itu, hanya tiga kru saja yang pergi ke laut dan bukannya empat orang. Salah seorang kru bot itu bernasib baik kerana tidak menyertai rakan-rakannya turun ke laut kerana dilaporkan kurang sihat.

“Namun, tiga rakannya itu hilang dari atas bot dan masih tidak dapat dihubungi sehingga kini,” katanya di sini, hari ini.

Pagi tadi, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, mengesahkan hanya tiga nelayan yang dipercayai hilang dan bukan empat seperti yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, ada pelbagai khabar angin yang diterima termasuk ada yang menyatakan mereka diculik dan dibawa ke negara jiran namun setakat ini belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh ahli keluarga atau mana-mana pihak.

Katanya, polis masih menunggu perkembangan lanjut berhubung kes itu dan menyiasatnya di bawah kes orang hilang kerana ketiga-tiga mangsa tidak dapat dikesan serta tidak dapat dihubungi.

Semalam, NSTP melaporkan empat termasuk tekong dan tiga nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka ditemui kosong berhampiran lokasi kejadian serangan sebuah bot tunda dikenali sebagai Magtrans II.

Dalam kejadian jam 6.30 petang Rabu lalu, bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia itu dikatakan dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Sebaik tiba di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, sebuah bot warna hitam dinaiki empat lelaki lengkap bersenjata panjang jenis raifal M16 menghampiri dan menaiki bot tunda berkenaan lalu melepaskan tembakan.

Akibat tembakan itu, tekong bot tunda dikenali sebagai Didy Saviady, 40, cedera di paha selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh suspek terbabit manakala semua kru selamat.

Berita Harian X