Ahad, 9 Disember 2018 | 2:39pm

Peserta, marshall maraton parah dirempuh kereta

GEORGETOWN: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat yang juga peserta maraton ‘Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay’ patah kaki kiri dan kanan selepas motosikal di bonceng dirempuh sebuah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, penunggang motosikal, Lee Foo Beng, 51 yang juga marshall maraton terbabit pula mengalami kecederaan di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jefri Md Zin, berkata ketika kejadian sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa melambung dan terbaring di atas jalan manakala motosikal pula tercampak ke seberang jalan.

“Siasatan awal mendapati jalan terbabit adalah laluan sehala yang mempunyai tiga lorong dan motosikal itu dipercayai dirempuh dari lorong tengah hingga ke lorong kanan,” katanya.

Keadaan kereta yang merempuh seorang pelajar lelaki yang juga peserta maraton ‘Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay’ dan seorang penunggang motosikal yang juga marshall maraton terbabit parah di Jalan Sultan Azlan Shah. - Foto ihsan Pembaca

Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee, berkata pihaknya memandang serius kejadian terbabit selain menjelaskan acara berkenaan tidak mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negeri.

“Acara tahunan anjuran PAAA ini memang tidak diiktiraf, bagaimanapun kita sudah berhubung dengan pihak penganjur untuk memberi bantuan kepada kedua-dua mangsa.

“Untuk mengelak kejadian sebegini berulang, saya ingin mengingatkan semua persatuan dan pihak penganjur acara sukan supaya mengutamakan keselamatan peserta,” katanya.

Seorang pelajar lelaki yang juga peserta maraton ‘Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay’ dan seorang penunggang motosikal yang juga marshall maraton terbabit parah selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah. - Foto ihsan Pembaca

Berita Harian X