Selasa, 11 Disember 2018 | 11:11am
ARUL Kanda Kandasamy hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah. - Foto BERNAMA

Arul Kanda ditahan, akan didakwa bersama Najib esok

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, ditahan selepas sejam hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, susulan dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, hari ini.

Beliau ditahan kira-kira jam 10.35 pagi ini dan tidak dibenarkan ikat jamin sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok pagi untuk didakwa.

Peguam mewakili Arul Kanda, Datuk N Sivananthan, mengesahkan anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

"Beliau akan didakwa bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok.

"Arul tidak dibenarkan ikat jamin dan akan bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Jalan Duta (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) esok pagi," katanya dalam sidang media di perkarangan lobi SPRM, hari ini.

Terdahulu, Arul Kanda tiba kira-kira jam 9.37 pagi tadi dipercayai menggunakan laluan belakang ibu pejabat pencegahan rasuah berkenaan sebelum dilihat mendaftar di kaunter lobi bangunan ibu pejabat pencegahan rasuah berkenaan.

Arul Kanda yang juga bekas Presiden 1MDB dilihat berpakaian kemeja biru muda berseluar gelap selain turut mengenakan topi besbol berwarna biru gelap.

Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa turut kelihatan hadir ke ibu pejabat SPRM beberapa minit awal sebelum kehadiran Arul Kanda.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan kehadiran beliau namun dipercayai bagi membantu siasatan isu sama dan turut menggunakan laluan belakang untuk masuk ke ibu pejabat SPRM.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB termasuk Arul Kanda dan Ali.

Kesemua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak dua minggu lalu.

Antara individu lain yang sudah dirakam keterangan termasuk Najib, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin, pegawai Jabatan Audit Negara dan pegawai Kementerian Kewangan.

Sebuah portal berita dalam talian melaporkan SPRM akan mendakwa Najib dan Arul Kanda mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana salah guna kuasa.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad, mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; Ali dan Arul Kanda.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN.

Berita Harian X