Selasa, 11 Disember 2018 | 11:28am
ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan meriam dalam menjayakan Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur, di perairan laut Sulu. - ihsan TLDM
KAPAL Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada pelbagai kelas bagi menjayakan Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur, di perairan laut Sulu. - Foto ihsan TLDM

Kehadiran kapal TLDM pastikan kedaulatan perairan terpelihara

SANDAKAN: Kehadiran lapan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada pelbagai kelas bagi menjayakan Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur menunjukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap-siaga memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara.

Menurut Kenyataan Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), kejayaan itu juga membuktikan aset armada TLDM khususnya MAWILLA 2 untuk memenuhi keperluan operasi di Kawasan Operasi Maritim (KOM) Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan.

“Pelaksanaan latihan itu juga memberikan impak yang positif kepada komuniti maritim di pantai timur khususnya keyakinan mereka terhadap kemampuan dan komitmen ATM dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan perairan setempat dengan kehadiran kapal TLDM di perairan laut Sulu.

“OSTEX yang dilaksanakan berjaya memantapkan kemampuan aset MAWILLA 2 dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan menguji prosedur tetap sedia ada,” kata kenyataan itu.

ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan senjata api dalam menjayakan Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur, di perairan laut Sulu. - ihsan TLDM

OSTEX Timur dilaksanakan bermula 3 hingga 10 Disember dan dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pelabuhan yang dilaksanakan di pangkalan TLDM Sandakan, manakala fasa laut di perairan laut Sulu.

Ia dilaksanakan susulan Perang Borneo pada Oktober lalu sebagai proses penilaian kesiap-siagaan dan keupayaan tempur armada di bawah naungan MAWILLA 2.

Bagi fasa pelabuhan, ia merangkumi latihan pertahanan pangkalan yang membabitkan semua unit di pangkalan TLDM Sandakan serta kapal yang merapat di Tambatan Pangkalan Sandakan.

Bagi fasa laut, elemen tugas membabitkan lapan kapal iaitu Kapal Auksiliari Tun Azizan, Kapal Diraja (KD) Todak, KD Yu, KD Sri Tiga, KD Sri Gaya, KD Sri Johor dan KD Sri Perlis serta Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah.

Fasa itu membabitkan beberapa siri latihan seperti melalui periuk api, ilmu kelautan, persenjataan, komunikasi dan taktik peperangan maritim.

Berita Harian X