Khamis, 13 Disember 2018 | 10:34am
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali menyertai operasi penguatkuasaan imigresen di sebuah hotel di Jalan Pudu, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

206 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR: Seramai 206 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dilakukan di dua lokasi serbuan di kawasan rumah kongsi di Cyberjaya dan sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Mustafar Ali, berkata dalam serbuan pertama di kawasan rumah kongsi itu, pihaknya menahan 183 warga Indonesia serta masing-masing seorang warga asing dari China dan Bangladesh.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 235 warga asing di kawasan itu. Daripada jumlah itu, 92 daripada mereka lelaki, manakala 93 yang lain adalah wanita termasuk seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dua hari lalu.

“Semua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan permit tamat tempoh,” katanya pada sidang media operasi terbabit turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, di sini, awal pagi tadi.

Mustafar berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini, yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing dari Indonesia dan Thailand.


ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Pudu, awal pagi tadi. - Foto BERNAMA

“Hasil risikan dilakukan, hotel itu didapati menjalankan kegiatan pelacuran yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu. Dalam serbuan ini, kami menahan 18 wanita warga Indonesia dan Thailand berusia antara 20 hingga 30 tahun selain seorang lelaki Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan.

“Malah, hotel ini pernah diserbu beberapa kali sebelum ini kerana didapati melakukan kegiatan pelacuran. Kami turut merampas beberapa barangan yang ditemui di hotel ini termasuk kondom dan sebilah parang,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigresen di Bukit Jalil, di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, kerajaan komited dalam usaha mengekang gejala tidak ‘sihat’ termasuk kegiatan pelacuran dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kerajaan memberi komitmen sepenuhnya bagi mengelak gejala tidak sihat seperti kegiatan pelacuran dan PATI daripada terus berleluasa di seluruh negara.

“Usaha berterusan dilakukan dengan operasi dilakukan pihak penguatkuasa bagi membendung gejala ini termasuk pelaksanaan operasi dilakukan hari ini yang berjaya menahan lebih 200 warga asing atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu.

Berita Harian X