Ahad, 16 Disember 2018 | 3:14pm
Seorang pengurus pusat hiburan maut dibunuh dalam satu kejadian pergaduhan di hadapan sebuah pub di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8 di sini, awal pagi tadi. - Foto NSTP
Seorang pengurus pusat hiburan maut dibunuh dalam satu kejadian pergaduhan di hadapan sebuah pub di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8 di sini, awal pagi tadi. - Foto NSTP

Pengurus pusat hiburan maut ditetak dalam pergaduhan

PETALING JAYA: Seorang pengurus pusat hiburan maut ditetak dalam pergaduhan di hadapan sebuah pub di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.38 pagi, mangsa berusia 28 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika berdiri di luar pub terbabit bersama beberapa lelaki lain.

Mangsa yang menetap di Maxwell Towers, Jalan Gasing Indah, di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada jam 7.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata susulan itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun untuk membantu siasatan dan merampas empat kereta.

“Kita turut menemui tiga bilah parang dalam salah sebuah kereta milik suspek yang ditahan.

“Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar kejadian dan usaha mengesan baki suspek sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian, berlaku pergaduhan awal antara beberapa lelaki di hadapan pub terbabit kira-kira jam 5.32 pagi.

“Kira-kira sejam kemudian, empat kenderaan jenis Perodua Myvi, Honda HR-V, Volkswagen Golf dan Toyota Camry datang ke lokasi sebelum beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar serta menyerang mangsa yang berada di luar pub.

“Dalam keadaan cedera parah, mangsa sempat menyelamatkan diri ke dalam pub itu sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X