Isnin, 17 Disember 2018 | 9:47am
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia Kedah dan polis marin, di Kuala Kedah. - Ihsan Jabatan Imigresen

Imigresen tahan 34 PATI

ALOR SETAR: Seramai 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di pelantar ikan dan tapak pembinaan sekitar Kuala Kedah ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) dan Polis Marin di sini, semalam.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata dalam Ops Mega 3.0 yang berakhir pada jam 2 petang itu, seramai 100 warga asing diperiksa dengan 34 ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, semua PATI leka bekerja sehingga tidak menyedari kehadiran 38 anggota Imigresen yang mengepung kawasan terbabit.

“Seramai 34 lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 39 tahun itu ditahan selepas kebanyakan mereka bekerja tanpa memiliki permit sah.

“Mereka terdiri daripada 19 warga Myanmar, 13 warga Bangladesh, manakala dua lagi warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.

Zuhair berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa serta Per.39 (B) Peraturan Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, semua PATI ditahan sementara di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar dan akan dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Berita Harian X