Isnin, 17 Disember 2018 | 11:05pm
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari. - Foto INTAN NUR ELLIANA ZAKARIA

Adib meninggal dunia: Kerajaan Selangor berdukacita

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor turut berdukacita atas pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan.

Menteri Besar, Amirudin Shari, dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi, berkata kerajaan Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

"Kerajaan Selangor berdukacita atas pemergian beliau dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

"Saya mengulangi keyakinan saya akan kemampuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

"Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.

"Semoga roh Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama syuhada dan solihin," katanya yang kini sedang menjalani ibadah umrah.

Semalam, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur sejak 24 jam sebelum itu.

Selepas menjalankan penilaian menyeluruh, paru-paru anggota bomba itu didapati menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, justeru menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Berita Harian X