Selasa, 18 Disember 2018 | 3:38pm
TAN Kek Wah dalam keadaan bersalut dengan lumpur ketika ditemui oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) kira-kira jam 9.10 pagi tadi selepas dilaporkan hilang sejak hari Ahad baru-baru ini. - ihsan polis

OKU terbaring dalam lumpur 2 hari

KLUANG: Seorang orang kurang upaya (OKU) hanya mampu terbaring di dalam lumpur selama dua hari sementara menunggu orang ramai menemuinya di Ladang Kelapa Sawit Ulu Remis, dekat sini, selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat jalan licin, Ahad lalu.

Mangsa, Tan Kek Wah, 79, ditemui pekerja Bangladesh pagi ini dalam keadaan lemah selepas terbaring di dalam lopak berkenaan sejak lebih 48 jam lalu kerana tidak mampu berdiri dan menyelamatkan diri.

Adiknya, Tan Chen Yau, 48, berkata, Kek Wah, menggunakan kaki palsu sebelah kanan dan tidak dapat bangun selepas terjatuh ke dalam lopak itu kerana tiada kekuatan untuk berdiri selain tidak dapat mengangkat motosikalnya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan abangnya terpaksa tidur di dalam lopak sebelum ditemui pekerja ladang warga Bangladesh yang dalam perjalanan memetik buah kelapa sawit di kawasan berhampiran.

“Dakwaan awal mengatakan dia sesat adalah mustahil kerana abang amat mengenali laluan dalam Ladang Kelapa Sawit MCA kerana mengusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Apa yang membimbangkan kami sekeluarga, jika ladang itu banjir, air amat dalam hingga boleh menghanyutkan dan menenggelamkan orang yang berdiri,” katanya ketika ditemui di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini, hari ini.

Chen Yau ditemui ketika menunggu abangnya mendapatkan rawatan berkata, mereka sekeluarga lega abangnya ditemui walaupun dalam keadaan lemah akibat tidak makan dan minum sejak dua hari lalu.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua anggota polis dan orang ramai yang membantu mencari abang sejak semalam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata menerima panggilan kecemasan daripada pengurusan ladang berkenaan kira-kira jam 9.10 pagi hari ini memaklumkan penemuan seorang lelaki yang dikatakan hilang.

“Berikutan laporan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi penemuan iaitu di Ladang Kelapa Sawit Ulu Remis, kira-kira lima kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang di Ladang Kelapa Sawit MCA sebelum identitinya disahkan.

“Ketika ditemui, mangsa dipenuhi lumpur bersama motosikal yang ditunggangnya sebelum dibawa keluar dan dirujuk ke HEBHK untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Mangsa kemudiannya dibenarkan pulang ke rumahnya di Pekan Layang-Layang, dekat sini” katanya.

Berita Harian X