Selasa, 18 Disember 2018 | 4:45pm
AHMAD Zahid Hamidi. - NSTP/Sairien Nafis

Ahmad Zahid gesa tubuh RCI kematian Muhammad Adib, rusuhan kuil

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Katanya, RCI perlu ditubuhkan bukan saja bagi menyiasat unsur jenayah dalam kematian Muhammad Adib, tetapi juga bagi menyiasat rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

“Ia bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yang menggunakan agama untuk seleweng fakta.

“Keadilan untuk Muhammad Adib mesti ditegakkan,” katanya menerusi akaun Twitternya hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang berkhidmat di Pejabat Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil berkenaan ketika pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran kereta.

Beliau dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

IJN dalam kenyataan kelmarin menjelaskan, keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur dalam tempoh 24 jam sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi.

Susulan kematian Muhammad Adib, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab, berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Berita Harian X