Selasa, 18 Disember 2018 | 6:48pm

Mahkamah putuskan tidak perlu kemuka surat pelantikan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Datuk Sulaiman Abdullah mengemukakan surat pelantikannya secara fiat (kebenaran rasmi) kepada Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak permohonan bekas Perdana Menteri supaya Sulaiman, yang dilantik mengetuai barisan pendakwaan, mengemukakan surat pelantikannya.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata berdasarkan kaedah lantikan, surat pelantikan itu hanya perlu dikemukakan kepada pihak mahkamah dan bukannya tertuduh.

“Terdapat beberapa perkara kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman, bagaimanapun Pejabat Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan media berhubung pelantikan itu pada 31 Ogos lalu.

“Kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara, Tommy Thomas, secara jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk mengetuai pasukan pendakwaan kes ini. Sehubungan itu, mahkamah menganggap permohonan ini tidak mempunyai merit,” katanya.

Berhubung isu surat pelantikan itu yang diisytiharkan sebagai rahsia rasmi, mahkamah memberitahu, sebarang dokumen yang diisytiharkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak boleh dicabar di mahkamah.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahnya mempersoalkan sama ada kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara berhubung pelantikan Sulaiman itu mencukupi apatah lagi ia tidak mempunyai tanda tangan peguam negara.

Bagaimanapun, Sulaiman berhujah, pihaknya tidak akan mengemukakan surat lantikan itu ekoran dokumen berkenaan diisytiharkan di bawah OSA.

Sementara itu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos lalu, Najib, 65, didakwa atas tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada kegiatan haram membabitkan dana syarikat SRC International, empat tahun lalu.

Berita Harian X