Rabu, 19 Disember 2018 | 4:06pm
NUR Sajat di denda RM 2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga kesalahan membabitkan Akta Cukai Barang dan Perkidmatan 2014 (GST). - NSTP/Roslin Mat Tahir
NUR Sajat di denda RM 2,700 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga kesalahan membabitkan Akta Cukai Barang dan Perkidmatan 2014 (GST). - NSTP/Roslin Mat Tahir

Nur Sajat bayar denda kesalahan GST

SHAH ALAM: Nur Sajat menganggap kesalahan dilakukan syarikatnya membabitkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga didakwa di Mahkamah Shah Alam, hari ini selesai selepas membayar denda.

Nur Sajat, 33, berkata kesalahan berkenaan dilakukan syarikatnya yang terletak di Seksyen 7 di sini, ketika GST baru diperkenalkan.

“Pada waktu itu, saya tidak mengetahui lebih jelas mengenai pelaksanaan GST itu. Mula-mula ada GST dahulu dan kemudian sistem bertukar-tukar.

“Itu kali pertama saya membuat urusan berkenaan dan kesalahan ini bukan kerana tidak bayar atau berhutang tetapi cuma terlewat mengemukakan dokumen.

“Saya sudah bayar (denda). Jadi, semua sudah selesai antara saya dengan mahkamah,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah itu.

Mengulas lanjut, kata penyanyi lagu Bobo Di Mana itu, kesalahan berkenaan turut berpunca masalah dalaman syarikat.

“Penukaran beberapa kakitangan selain perubahan sistem turut menyebabkan syarikat saya didakwa,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman denda RM2,700 selepas Nur Sajat mengaku bersalah terhadap tiga kesalahan membabitkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, tiga tahun lalu.

Rofiah turut memerintahkan Nur Sajat dikenakan hukuman penjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda itu.

Nur Sajat yang memakai baju merah serta bertumit tinggi hadir di mahkamah bersama beberapa teman pada jam 9.25 pagi.

Berita Harian X