Rabu, 19 Disember 2018 | 5:03pm

Mahkamah Tinggi tetapkan tarikh pengurusan kes saman Sultanah Terengganu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 30 Januari depan untuk pengurusan kes saman Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, serta dua lagi berhubung dakwaan fitnah terhadap Terengganu Investment Authority (TIA) dan Low Taek Jho atau Jho Low.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Vishnu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah selepas pengurusan kes di dalam kamar hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, di sini.

Berdasarkan writ saman dan penyata tuntutan yang diperoleh melalui carian sistem mahkamah, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman dengan menamakan Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama sehingga ketiga pada 21 November lalu.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa sekitar Ogos 2018, Rewcastle-Brown dengan defendan kedua ada membuat kenyataan fitnah dalam buku bertajuk ‘The Sarawak Report-The Inside Story of 1MDB Expose’ dan dicetak oleh defendan ketiga.

Fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan TIA serta menolong Jho Low bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA serta terbabit dalam amalan rasuah.

Ia adalah fitnah kerana Sultanah Nur Zahirah mendakwa tidak pernah membabitkan diri dengan urusan atau pentadbiran kerajaan atau penubuhan TIA.

Plaintif juga mendakwa tidak pernah memberi persetujuan kepada Jho Low dalam pertubuhan TIA atau menyokong lelaki itu mendapatkan peranan sebagai penasihat TIA.

Malah, plaintif mendakwa tidak pernah mengenali Jho Low dan hanya tahu mengenainya melalui media.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa akibat fitnah itu ia memalukan dan menjatuhkan reputasinya dalam pandangan masyarakat

Oleh itu, Sultanah Nur Zahirah menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am daripada ketiga-tiga defendan,

Plaintif juga menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah daripada penjualan dan pengedaran.

Selain itu, plaintif turut menuntut akujanji defendan kedua untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah terbabit dalam apa jua keadaan.

Sementara itu, defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menafikan ada menuduh plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Defendan pertama mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terbabit dengan konspirasi dengan Jho Low.

Selain itu, defendan pertama juga mendakwa tidak pernah membuat sebarang cadangan bahawa plaintif terbabit dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB.

Berita Harian X