Rabu, 19 Disember 2018 | 5:21pm
PAUZAN Ahmad. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kematian akibat lemas lebih tinggi berbanding kebakaran

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan lebih 300 kematian setiap tahun akibat lemas di seluruh negara.

Ketua Cawangan Pusat Pengurusan Operasi JBPM, Pauzan Ahmad, berkata jumlah itu adalah dua kali ganda daripada jumlah kematian membabitkan kes kebakaran yang direkodkan di seluruh negara setiap tahun.

“Secara purata, lebih 300 kematian direkodkan setiap tahun akibat lemas, jauh lebih tinggi berbanding kematian direkodkan akibat kebakaran yang mencatatkan kurang separuh daripada angka terbabit, terutama ketika musim tengkujuh.

“Bagi kes ketika musim banjir, sebanyak tiga kematian direkodkan bagi tempoh Oktober tahun lalu hingga Disember ini termasuk kes seorang guru lelaki yang lemas di Setiu, Terengganu baru-baru ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pauzan berkata, pihaknya sudah merangka pelan kontingensi banjir di negeri masing-masing di seluruh negara bagi membuat persediaan menghadapi banjir.

“Pelan kontingensi itu merangkumi tindakan dan perhubungan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memantau pergerakan cuaca serta sungai yang berisiko banjir.

“Ia sebagai amaran awal kepada penduduk setempat jika berlaku banjir besar yang akan menjejaskan kawasan tempat tinggal mereka,” katanya.

Beliau berkata dalam kebanyakan kes, setiap kali musim banjir, ramai pihak mengambil kesempatan untuk bermandi manda dan memancing, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kejadian lemas.

“Apa yang saya lihat apabila sesuatu kawasan itu dilanda banjir, ramai kanak-kanak akan bermandi-manda, manakala kaki pancing pula memancing tanpa sebarang pengawasan.

“Bagi saya, tidak salah untuk bermandi-mandi atau memancing, namun perlu ada pengawasan. Apabila tiada pengawasan, tidak mustahil berlaku kejadian tidak diingini termasuk kes lemas,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak melakukan riadah berhampiran sungai pada musim tengkujuh kerana peningkatan paras air boleh menyebabkan kepala air dari atas bukit turun dengan deras tanpa sebarang amaran.

“Jika sesuatu sungai itu hendak berlaku air pasang, ia akan menunjukkan tanda-tanda seperti sungai menjadi keruh, daun kering dan kayu-kayan tiba-tiba banyak dalam sungai dan paras air semakin deras.

“Apabila nampak tanda-tanda berkenan, orang ramai dinasihatkan segera mengalihkan khemah dipasang berhampiran sungai ke tempat lebih tinggi bagi mengelak insiden tidak diingini,” katanya.

Berita Harian X