Khamis, 20 Disember 2018 | 6:13pm
WAYTHA Moorthy dan Ganabatirau.

Berhimpun selagi Waytha Moorthy, Ganabatirau tak letak jawatan

PUTRAJAYA: Beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Semangat Gelombang Rakyat, berhimpun di hadapan pintu masuk Bangunan Perdana Putra di sini, bagi mendesak perlucutan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy.

Jurucakap gabungan berkenaan, Ellie Suriaty Omar, berkata walaupun Waytha Moorthy dilantik sebagai menteri yang menjaga perpaduan, beliau dilihat gagal menggalas tugas berkenaan termasuk didakwa bertanggungjawab membangkitkan sentimen perkauman berhubung kes rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield dekat Subang Jaya, bulan lalu.

Menurutnya, berikutan insiden rusuhan itu seorang anggota bomba, Muhammad Adib Kassim, 25, dipukul hingga cedera parah ketika rusuhan berkenaan dan akhirnya meninggal dunia, Selasa lalu.

“Selain Waytha Moorthy, kami juga mahu EXCO Kerajaan Negeri Selangor, V Ganabatirau, juga dilucutkan jawatan kerana dengan sengaja menyemarakkan api perkauman dalam media sosial.

“Kami hadir hari ini bukan mahu menghantar memorandum, namun akan terus mendesak kerajaan supaya keadilan dapat ditegakkan.

“Selagi tindakan tidak diambil, kami akan terus berhimpun di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Gabungan Semangat Gelombang Rakyat itu dianggotai Pertubuhan Majlis Permuafakatan Ayahanda Malaysia (PERMAS), Gerakan Srikandi Malaysia, Pertubuhan Biru Ber’1’ Abata Malaysia dan #Geng Selangor.

Katanya, pihaknya mengakui NGO yang berhimpun itu hanya terdiri daripada kumpulan yang kecil, namun jika dibiarkan, mereka boleh menjadi tsunami besar kebangkitan rakyat.

“Ya, kami kumpulan kecil tapi jangan lupa gelombang kecil ini boleh jadi tsunami besar kebangkitan rakyat,” katanya.

Berita Harian X