Jumaat, 21 Disember 2018 | 2:56pm

Penubuhan NFCC tangani pengaliran keluar wang haram

PUTRAJAYA: Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) akan ditubuhkan pada pertengahan tahun depan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu akan digerakkan menerusi kaedah pelbagai agensi (multi agency) dan mesyuarat penyelarasan agensi itu sudah diadakan.

“Kita harap ia mula beroperasi secepat mungkin selepas undang-undang dibuat. Walau bagaimanapun, kerajaan sudah bersetuju melantik satu pasukan diketuai seorang pegawai kanan kerajaan untuk memastikan pembentukan dan perjalanannya.

“Pusat ini diharap dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan menerusi penyelarasan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 di sini, hari ini.

Penubuhan NFCC adalah satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Jun hingga Disember tahun ini.

Mengenai undang-undang pembiayaan politik, Abu Kassim berkata, perkara itu sedang diteliti GIACC bersama Pejabat Peguam Negara.

“Kita sedang memperincikan undang-undang itu dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

“Kita jangkakan dalam tahun depan ia siap diperincikan dan dibentang pada sesi pertama Parlimen tahun depan,” katanya.

ABU Kassim Mohamed ketika sidang media mengenai Inisiatif Kerajaan Persekutuan Mengenai Governans, Integriti & Anti-Rasuah Nasional di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X