Jumaat, 21 Disember 2018 | 3:48pm

Bekas peguam hartanah didakwa pecah amanah

PETALING JAYA: Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM43,000 berhubung hasil jualan rumah, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Nurlizahani Mohd Alang, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian bekerja sebagai seorang peguam di Tetuan Hani Shalha & Co yang diamanahkan dengan wang tunai hasil penjualan rumah bernilai RM43,000 melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Tetuan Hani Shalha & Co di Dataran Glomac, Kelana Jaya, di sini, pada 30 Disember 2010.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Zulkifli menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan ringan atas alasan tidak mampu membayar jaminan tinggi.

Hakim Mabel S Muttiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X