X
Jumaat, 21 Disember 2018 | 6:00pm
AMINUDDIN (tengah) menunjukkan memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri bagi menuntut keadilan atas kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
AMINUDDIN (tengah) menunjukkan memorandum yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri bagi menuntut keadilan atas kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Lebih 500 ahli NGO berhimpun desak Waytha Moorthy letak jawatan

PUTRAJAYA : Lebih 500 individu daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dalam Solidariti Suara Ummah #Justice4Adib bagi menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy meletakkan jawatan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya, berkata pelucutan jawatan itu perlu dilakukan kerana menteri berkenaan gagal menangani isu rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu.

Katanya, Waytha Moorthy ketika itu yang sepatutnya memperjuangkan perpaduan, gagal melaksanakan tanggungjawabnya dan dengan angkuh serta sombong menyalahkan pihak polis kerana lambat ke tempat kejadian.

“Lebih malang, beliau turut bersama dengan menteri lain menasihati pihak kuil dan orang ramai bahawa kuil berkenaan tidak perlu dipindahkan meskipun sudah diperintahkan berbuat demikian oleh Mahkamah Tinggi, sekali gus secara jelas menghina mahkamah.

“Kami UMMAH sangat komited untuk menegakkan keadilan kerana Muhammad Adib pergi ke tempat kejadian menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota bomba yang tidak membawa senjata, hanya untuk menyelamat tetapi ada tangan durjana yang menarik dan memukul beliau.

“Kita harap pihak kerajaan dapat mendengar rintihan yang dibawa oleh rakyat ini supaya keadilan dapat diberikan kepada arwah Muhammad Adib,” katanya dalam ucapan selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Perhimpunan yang dianjurkan oleh UMMAH itu diadakan di Dataran Putrajaya selepas solat Jumaat hari ini sebelum bergerak ke Bangunan Perdana Putra bagi menyerahkan memorandum menuntut keadilan terhadap kematian Muhammad Adib.

Aminuddin berkata, sekiranya kerajaan tidak mengambil tindakan serius terhadap memorandum itu, desakan besar besaran akan terus dilakukan di seluruh negara dengan lebih ramai peserta.

Dalam pada itu, beliau berkata semasa penyerahan memorandum berkenaan, Abu Bakar komited untuk menyampaikan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X