Isnin, 24 Disember 2018 | 3:09pm
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya menerima memorandum sokong Waytha Moorthy oleh G Francis Siva (berkerusi roda) di pintu Balai Kawalan Utama, Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Memorandum sokong Waytha Moorthy diserah kepada PM

PUTRAJAYA: Kira-kira 30 individu mewakili lebih 200 badan bukan kerajaan (NGO) di hari ini menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyatakan sokongan mereka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya, oleh Presiden Badan Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia, G Francis Siva, di pintu Balai Kawalan Utama, Perdana Putra di sini.

Memorandum berkenaan menyatakan tindakan menyalahkan Waytha Moorthy yang juga Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) atas rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafiled, Subang Jaya dan kematian tragis anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, akibat tragedi itu adalah cubaan mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar negara.

“Tindakan menjadikan beliau (Waytha Moorthy) kambing hitam dan menuntut peletakan jawatan atau pemecatan beliau bertujuan mengalih perhatian masyarakat daripada masalah sebenar yang menghantui negara kita iaitu perkauman dan ketiadaan toleransi agama.

“Adalah keji dan memalukan terdapatnya pihak tertentu yang memanfaatkan keadaan tragis ini untuk mendorong agenda mereka dalam menegakkan kebencian, ketaksuban, polarisasi politik dan ketegangan etnik.

“Mereka taksub memperjuangkan naratif kononnya rakyat Malaysia tidak mungkin dapat membebaskan diri daripada politik perkauman dan etnik. Ia mencemarkan pengorbanan ahli bomba,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak menggesa Waytha Moorthy meletakkan jawatan ekoran insiden di kuil berkenaan dan kematian Muhammad Adib, selain petisyen secara dalam talian oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang difahamkan sudah ditandatangani lebih 300,000 orang.

Sementara itu, peguam Siti Kasim yang turut hadir, menggesa Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, supaya tidak campur tangan dalam mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan.

“Beliau sepatutnya seiring dengan menteri lain. Jika tidak gembira, beliau sepatutnya bercakap kepada Kabinet, bukan buat apa yang beliau buat sekarang.

“Beliau sepatutnya menjadi menteri kepada rakyat Malaysia, bukan hanya untuk ARMADA atau BERSATU. Ini bukan mengenai parti politiknya, ini mengenai rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai petisyen bagi mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan, Siti berkata, ia boleh dimanipulasi dan tidak boleh dipercayai.

“Saya boleh cipta ratusan e-mel dan akaun Facebook tetapi ia adalah daripada orang yang sama, melakukan perkara sama. Kita tidak terganggu dengan petisyen ini kerana ia mudah dimanipulasi terutama jika anda ada wang,” katanya.

Berita Harian X