Isnin, 24 Disember 2018 | 6:18pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. - NSTP/Danial Saad

KPKT lantik peguam untuk keluarga Muhammad Adib

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melantik seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata peguam yang dilantik oleh kementeriannya, Syazlin Mansor, bukan saja akan bertindak sebagai pemerhati bagi pihak keluarga dan JBPM tetapi turut membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding kes berkenaan.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Allahyarham kemudian dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya dan kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember lalu selepas bertarung nyawa selama tiga minggu di IJN.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, yang dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk, yang memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Berita Harian X