Isnin, 24 Disember 2018 | 6:32pm

Rokok, tujuh kenderaan bernilai RM1.1 juta dirampas

PELABUHAN KLANG: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas 4,560 karton pelbagai jenama rokok seludup dan tujuh kenderaan bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di tepi Sungai Bagan Tengkorak, Kuala Selangor, di sini, pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDN/KA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kassim, berkata kejayaan itu hasil intipan dan pemantauan selama dua hari sebelum serbuan dilakukan pada jam 4.30 pagi.

Katanya, ketika serbuan, sekumpulan lelaki sedang memunggah rokok ke dalam kenderaan dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, hasil kecekapan anggota, PPM berjaya menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 50 tahun disyaki pemandu.

“Pada masa sama, kita turut mengesan sebuah bot pancung yang menggunakan tiga enjin melarikan diri ke laut ketika serbuan dilakukan,” katanya pada sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail.

Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 4,560 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM748,320 termasuk cukai, ditemui dalam kenderaan yang dirampas.

Katanya, antara kenderaan yang dirampas pula ialah empat kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova bernilai RM250,000; dua van Toyota Hiace (RM80,000) dan satu MPV Cherry Easter (RM50,000).

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala cukai jalannya didaftar atas syarikat yang beralamat di Kuala Selangor.

“Semakan ke lokasi syarikat berkenaan mendapati ia tidak wujud. Hanya sebuah syarikat perabot yang didaftarkan dengan nama lain yang ada di situ,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang sindiket dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin berkata, PPM Pelabuhan Klang menyelesaikan 19 kes berkaitan Akta Kastam dari 1 Januari sehingga hari ini membabitkan nilai rampasan RM1.8 juta berbanding 22 kes tahun lalu dengan nilai rampasan RM772,113.

Zainal Abidin (kanan) menunjukkan bungkusan rokok yang dirampas pada sidang media di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang, di Klang, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
Berita Harian X