Rabu, 26 Disember 2018 | 9:01pm
PENGUSAHA bot, Mohd Yasim Mohamed menunjukkan lokasi seorang pemuda dikhuatiri lemas ketika terjun ke dalam sungai di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun. - Foto Rosli Ilham

Lelaki terjun muara lari daripada polis dikhuatiri lemas

DUNGUN: “Pegang buluh itu, kalau kau tak pegang kau akan mati”.

Itu jerit seorang pengusaha bot, Mohd Yasim Mohamed, 57, ke arah seorang pemuda sebelum dia tenggelam ke dasar muara di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun, petang tadi.

Pemuda berusia 39 tahun itu bertindak terjun selepas dikatakan ternampak beberapa anggota polis masuk ke kawasan LKIM terbabit, jam 4.45 petang.

Mohd Yasim berkata, sebelum kejadian dia sedang berada di tebing muara itu untuk membaiki botnya yang rosak.

“Saya terdengar orang terjun ke dalam sungai dan ketika menoleh, saya nampak pemuda itu mula berenang ke arah saya.

“Jarak saya dan pemuda itu hanya kira-kira 10 meter dan saya tidak berani turun kerana air ketika itu dalam,” katanya.

Katanya, dia kemudian mengambil sebatang buluh panjang dan menghampiri pemuda itu sambil merayu mangsa memegang buluh terbabit.

“Bagaimanapun, dia tidak mahu memegang buluh terbabit. Malah beberapa anggota polis cuba memujuk mangsa mencapai buluh itu sambil berjanji tidak akan menahannya.

“Saya sangat pelik, kalau dia capai buluh itu sudah tentu dia akan selamat. Namun apa boleh buat dia (mangsa) tidak mahu memegang buluh itu.

“Pemuda itu beberapa kali tenggelam timbul sebelum dia terus tenggelam ke dasar sungai terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika ditemui di tempat kejadian berkata, polis meminta bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, gerakan mencari mangsa diteruskan sehingga jam 8 malam ini tetapi mangsa gagal ditemui.

Berita Harian X