Jumaat, 28 Disember 2018 | 6:07pm
Inkues siasatan kematian Muhammad Adib wajar diadakan bagi menepis pelbagai andaian berhubung punca sebenar kematian anggota bomba itu. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Inkues wajar untuk ketepikan spekulasi - Peguam

KUALA LUMPUR: Inkues siasatan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim wajar diadakan bagi menepis pelbagai andaian, khabar angin dan spekulasi orang ramai berhubung punca sebenar kematian anggota bomba itu.

Peguam undang-undang jenayah berpengalaman, Datuk N Sivananthan, berkata tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang inkues diadakan dalam masa terdekat walaupun laporan kematian belum dikeluarkan oleh pihak hospital.

Beliau yang dihubungi wartawan NSTP, berkata tiada masalah untuk menjalankan inkues secepat mungkin kerana pihak polis belum membuat tangkapan terhadap individu yang bertanggungjawab secara langsung dalam kejadian pada November lalu.

Katanya, inkues dibuat apabila punca kematian tidak dapat dipastikan dan prosiding itu nanti akan menyiasat siapa (adakah kematian disebabkan perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak) dan apa sebenarnya yang menyebabkan kematian si mati.

“Pada masa ini keadaan agak tidak terkawal apabila orang ramai memberikan teori mereka sendiri berhubung kejadian itu. Jadi individu yang berkenaan atau yang menyaksikan insiden terbabit boleh tampil dan memberikan keterangan dalam prosiding inkues selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah koroner.

“Selepas semua keterangan dan maklumat daripada saksi dikumpul dan diteliti, koroner akan membuat keputusan, kadang-kadang koroner boleh memberikan keputusan terbuka iaitu punca kematian tidak diketahui.

“Oleh kerana inkues ini dijalankan mahkamah terbuka, orang ramai boleh mengikuti prosiding dan mendapat maklumat sebenar,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara akan mengarahkan majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan sendiri oleh Tommy Thomas, hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Katanya, Pendakwa Raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu koroner menjalankan inkues.

Hari ini, Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria ketika dihubungi media, berkata Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari depan bagi pengurusan kes inkues Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Berita Harian X