Rabu, 2 Januari 2019 | 3:10pm

Dua rakan dipenjara dan sebat kerana merompak

KUALA LUMPUR: Dua rakan masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merompak pemandu perkhidmatan e-hailing, Disember tahun lalu.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu masing-masing terhadap R Nanthakumar, 33, dan C S Komagan, 41, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mereka dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 11 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan pertama , mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Ton Kwong Hong ,29, dengan mengambil dua telefon bimbit dan wang tunai RM150 yang keseluruhan nilai RM2,000 bersenjatakan sebilah pisau di hadapan Flat San Peng, Dang Wangi di sini pada jam 12.50 tengah hari, 2 Disember 2018.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap Mohamad Aniff Azahari Hamidi ,29, dengan merompak dompet, dua telefon bimbit dan wang tunai RM400 yang keseluruhan berjumlah RM1,000 di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pada jam 2.20 petang, 4 Disember tahun lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan mereka adalah penanggung utama keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif bagaimanapun memohon hukuman setimpal berbentuk dengan mengambil kira kekerapan kes jenayah samun yang semakin meningkat.

Berdasarkan fakta kes, dalam dua kejadian itu kedua-dua tertuduh telah menyamar sebagai pelanggan dengan menggunakan aplikasi e-hailing untuk menempah kedua-dua perkhidmatan mangsa.

Selepas menaiki kenderaan, dua tertuduh kemudian merompak mangsa dengan mengambil barang berharga.

Berita Harian X