Rabu, 2 Januari 2019 | 5:41pm
CHOW Kon Yeow (dua dari kiri) bersama Yew Tung Seang; EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo; dan A. Thaiveegan meninjau operasi sistem pengecaman wajah membanteras jenayah semasa Majlis Pelancaran Projek Pengecaman Wajah di Bilik Kawalan Kamera Litar Tertutup (CCTV) MBPP, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - NSTP/Danial Saad

Pulau Pinang guna sistem CCTV cam wajah penjenayah

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan penggunaan teknologi sistem pengecaman wajah menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan tumpuan, dalam usaha memerangi jenayah di negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata teknologi itu adalah yang pertama digunakan di negara ini dan projek bernilai RM12 juta itu sudah dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2017.

Beliau berkata, teknologi itu juga akan membantu mengenal pasti individu yang mempunyai rekod jenayah dan ia akan mengesan kedudukan mereka sebelum tindakan seterusnya diambil oleh pihak berkuasa.

“Ketika ini terdapat 767 CCTV dipasang di sekitar pulau yang akan digunakan dan disepadukan dalam sistem menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memaksimumkan usaha untuk memerangi jenayah.

“CCTV adalah penting untuk mengumpul data dan kini kita perlu melihat cara untuk menafsirkan data. Perlu ada algoritma dan corak yang dapat membantu mencegah jenayah sebelum ia berlaku.

”Kami mengambil langkah demi langkah untuk menambah baik sistem itu,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow melihat simulasi teknologi berkenaan pada Majlis Pelancaran Sistem Pengecaman Wajah di Bilik Kawalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini.

Turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang.

Sementara itu, Thaiveegan berkata pihaknya akan menyenaraikan individu yang dikehendaki polis dalam usaha untuk menyelesaikan kes jenayah di negeri itu.

Katanya, imej suspek yang berjaya direkodkan akan membantu mengenalpasti kedudukan mereka, dan kamera akan mengawasi gerakan terbabit secara manual sebelum pihak polis membuat penangkapan.

“Kamera biasanya menghasilkan 80 hingga 90 peratus ketepatan, namun ia juga bergantung kepada kualiti kamera. Sebab itu kita perlu memeriksa individu terbabit sebelum menahan mereka,” katanya.

Berita Harian X