Rabu, 2 Januari 2019 | 7:38pm
MOHD Zani (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada murid tahun satu ketika Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Meraikan Hari Pertama Persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku, Petaling Jaya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pegawai polis di sekolah langkah proaktif tangani isu disiplin

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM), sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah disiplin, mahupun jenayah dalam kalangan pelajar dengan menempatkan pegawai mereka di setiap sekolah.

Contoh terbaik ditunjukkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, yang menempatkan seorang atau dua pegawai mereka di semua sekolah rendah dan menengah di daerah berkenaan sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata tindakan berkenaan memberi manfaat kepada 85 buah sekolah di daerah Petaling Jaya, serta memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa dan penjaga.

“Polis Daerah Petaling Jaya sudah mula menempatkan PPS (Pegawai Perhubungan Sekolah) di setiap sekolah sejak 2016, di mana seorang atau dua di sekolah rendah dan dua orang di sekolah menengah.

“Setakat ini kita mempunyai 170 PPS yang kita tempatkan di sekolah, jadi kerjasama ini dijalinkan secara terus dengan pihak pengurusan sekolah,” katanya ketika ditemui pada program Kembali ke Sekolah anjuran Polis Daerah Petaling Jaya, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tunku, di sini, hari ini.

Katanya, melalui PPS ini, Polis Daerah Petaling Jaya juga akan dapat mengesan sebarang salah-laku, masalah disiplin atau elemen kegiatan jenayah dikesan sebelum tindakan segera diambil.

Sementara itu, bagi bapa murid SK Kampung Tunku, Fahmi Yusof berkata tindakan itu juga dapat menjamin keselamatan anak mereka selain dapat mengelakkan berlakunya kegiatan jenayah di sekolah.

“Saya rasa program PPS ini sangat bagus sebab dapat memastikan segalanya terkawal dari segi disiplin anak di sekolah selain keselamatan anak-anak kami,” katanya.

Ibu kepada seorang lagi murid, Rahyu Waris Megat Abdul Waris, berkata dengan kehadiran pegawai polis, dia yakin keselamatan anaknya lebih terjamin dan anak-anak akan merasa lebih selamat.

“Saya rasa keselamatan mereka (pelajar) lebih terjamin ketika berada di sekolah, semasa keluar dari pagar sekolah dan semasa mereka berada di sekitar sekolah sekiranya ada aktiviti lain atau kelas tambahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 434 pelajar di sekitar daerah sama disaman atas pelbagai kesalahan hari ini.

Mohd Zani berkata, daripada jumlah itu, 277 pelajar dikesan tidak mempunyai lesen memandu.

“Ibu bapa juga turut dikesan membawa anak mereka ke sekolah tanpa memakai topi keledar, tidak memiliki lesen memandu jumlahnya adalah seramai 157 orang.

“Jadi kami (Polis Petaling Jaya) memberi tumpuan di kawasan sekolah kerana kadar kemalangan amat tinggi membabitkan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, alasan ibu bapa tidak memakai topi keledar kerana jarak perjalanan yang dekat untuk menghantar anak ke sekolah tidak boleh diterima kerana mereka mengabaikan keselamatan diri sendiri dan anak-anak.

Berita Harian X