Khamis, 3 Januari 2019 | 9:53am
LOKASI kejadian pergaduhan yang berlaku di sebuah flat sekitar kawasan Salak Selatan, malam tadi.

Pergaduhan tiada babitkan sentimen perkauman - Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kekecohan yang berlaku di sebuah flat sekitar kawasan Salak Selatan, di sini, malam tadi, berpunca daripada pergaduhan antara dua lelaki yang tidak membabitkan sebarang sentimen perkauman.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata selepas mendapat panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam itu, pihaknya menahan dua individu terbabit yang kemudian diberi rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Beliau berkata, mengikut siasatan awal, pihaknya mendapati seorang lelaki itu mempunyai satu dan empat rekod lampau masing-masing membabitkan kes gaduh dan dadah.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi mendapatkan motif insiden itu berlaku.

“Keadaan tenang dan terkawal di sekitar kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Berita Harian X