Khamis, 3 Januari 2019 | 10:21am
KETUA Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

TERKINI: Tiada pergaduhan besar di Salak Selatan - Polis

KUALA LUMPUR: Tiada pergaduhan besar yang berlaku di sebuah flat sekitar kawasan Salak Selatan, di sini, malam tadi, seperti yang digembar-gemburkan dan tersebar di aplikasi WhatsApp dan laman sosial.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata kekeliruan timbul kerana kehadiran ramai anggota polis di lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian.

“Tiada pergaduhan besar seperti yang tular di WhatsApp sejak malam tadi dan ia juga tidak membabitkan rusuhan atau pergaduhan antara kaum. Ia sebaliknya hanya insiden yang membabitkan dua individu sahaja.

“Orang ramai jangan mudah percaya dengan perkara yang tular di laman sosial kerana lokasi kejadian terkawal dan memang arahan daripada saya supaya ramai anggota ke lokasi bagi mengawal keadaan. Tiada kejadian yang serius,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai tangkapan terbaru, beliau berkata, seorang lagi lelaki ditahan ketika membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini, malam tadi, sejurus kejadian berlaku.

“Lelaki berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan dan ketiga-tiga yang ditahan belum mendapat perintah reman sehingga pagi ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya.

Dalam kejadian 7.45 malam tadi itu, berlaku kekecohan di lokasi berpunca daripada pergaduhan antara dua lelaki yang tidak membabitkan sebarang sentimen perkauman.

Mohamed Mokhsein berkata, pihaknya menahan dua individu terbabit yang kemudian diberi rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X