Khamis, 3 Januari 2019 | 3:15pm

Pecah tabung masjid beli dadah

KEPALA BATAS: Memecah masuk dan mencuri wang dalam tabung masjid kemudian pergi membeli dadah.

Itu modus operandi yang dikesan digunakan penjenayah tabung masjid di sekitar daerah ini yang dilihat semakin berleluasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian kecurian tabung masjid itu mencetuskan kebimbangan penduduk kampung apabila sering mengadukan perkara berkenaan kepada pihaknya.

“Sehari sebelum sambutan krismas, seorang lelaki berusia 52 tahun yang menjadi dalang dalam beberapa kegiatan mencuri tabung masjid di daerah ini ditahan sejurus perbuatannya itu disedari penduduk kampung yang pergi ke masjid berkenaan yang terletak di Kampung Nyior Sebatang untuk menunaikan solat.

“Empat hari kemudian, seorang lagi lelaki berusia 19 tahun ditahan ketika mencuri wang dalam tabung masjid dan pemeriksaan ke atasnya mendapati dia turut melarikan sebuah komputer riba milik sebuah masjid dekat Pokok Machang, Tasek Gelugor,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Jelasnya, hasil soal siasat lanjut ke atas kedua-dua suspek itu memaklumkan bahawa mereka bertindak mencuri kerana mahu membeli dadah.

“Ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya positif dadah dan dikesan melakukan kegiatan mencuri itu ke atas sembilan buah masjid.

“Daripada sembilan buah masjid itu, polis berjaya menyelesaikan 12 kes dan berharap akan menumpaskan kegiatan ini secara habis-habisan memandangkan ia mencetuskan kebimbangan orang ramai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya menahan seorang wanita warga Myanmar bersama anak lelakinya yang didapati melarikan sebuah telefon bimbit dalam kejadian di Terminal Pengangkutan Penang Sentral pada 25 November lalu.

Noorzainy berkata wanita berusia 22 tahun itu bersama anaknya ditahan pada malam Tahun Baharu dan merampas beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai hasil curi.

“Selain telefon bimbit yang dicuri di Penang Sentral itu, polis turut membuat rampasan beberapa telefon bimbit lain untuk siasatan.

“Modus operandi yang digunakan dalam kes ini adalah wanita itu menjadi pelanggan manakala anaknya pula diarahkan untuk melarikan telefon bimbit berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X