X
Ahad, 6 Januari 2019 | 2:16pm

Jeritan bapa selamatkan tiga beranak

JITRA: Jeritan bapa angkat berjaya menyelamatkan seorang anggota bomba dan ibu angkatnya apabila rumah yang didiami mereka di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga terbakar, malam tadi.

Raja Shahril Asyraf, 25, yang juga anggota bomba dan baru bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja sejak tiga bulan lalu berkata, dirinya terjaga dari tidur sebaik mendengar ayah angkatnya menjerit.

“Saya terjaga dari tidur sebaik ayah menjerit api...api dan ketika itu baru nak melelapkan mata namun ternampak api makin besar di bahagian atas rumah.

“Saya berlari ke bilik air untuk mengisi air dalam baldi dan cuba memadam api namun gagal kerana api semakin marak menyebabkan saya berlari keluar bersama mama dan ayah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, beliau menumpang di rumah ibu dan bapa angkatnya di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga itu sejak bekerja di sini selepas tamat rekrut.

Anggota bomba BBP Jalan Raja, Raja Shahril Asyraf Raja Nahar, 25, menunjukkan motosikal yang musnah dalam kebakaran rumah yang didiami bersama keluarga angkatnya di Kampung Tok Gelam. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Anggota bomba BBP Jalan Raja, Raja Shahril Asyraf Raja Nahar, 25, menunjukkan motosikal yang musnah dalam kebakaran rumah yang didiami bersama keluarga angkatnya di Kampung Tok Gelam. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Beliau yang berasal dari Perak bernasib baik kerana tidak bertugas malam tadi dan kejadian berlaku sekitar jam 11. 45 malam.

“Saya tak sempat berbuat apa-apa kerana apa yang penting nyawa ayah, Mohd Zain Seman, 49, dan mama, Rohana Ahmad, 50, perlu diselamatkan namun semua barangan dalam rumah ini musnah.

“Turut hangus dua buah motosikal dan 10 ekor burung peliharaan serta dua ekor ayam piru rentung dalam kebakaran ini namun kami bertiga terselamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di sini hari ini.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12 tengah malam berhubung kebakaran itu dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata, operasi bermula sejurus sepasukan 10 anggota BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adnan Ahmad tiba di lokasi bersama dua buah jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di lokasi didapati api sedang marak di rumah dua tingkat separa batu dan papan itu yang membabitkan kemusnahan 90 peratus.

“Api berjaya dikawal jam 12.49 pagi dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu,” katanya.

Zamani berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hassanudin Samsudin turut mengunjungi keluarga itu dan menyampaikan sumbangan dari Menteri Besar untuk kegunaan mereka.

Pegawai Forensik JBPM Kedah mengambil keterangan daripada anggota bomba BBP Jalan Raja, Raja Shahril Asyraf Raja Nahar berkaitan rumah yang didiami bersama keluarga angkatnya di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga yang musnah dalam kebakaran. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Pegawai Forensik JBPM Kedah mengambil keterangan daripada anggota bomba BBP Jalan Raja, Raja Shahril Asyraf Raja Nahar berkaitan rumah yang didiami bersama keluarga angkatnya di Kampung Tok Gelam, Mukim Naga yang musnah dalam kebakaran. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X