Isnin, 7 Januari 2019 | 11:22pm
Abd Wahab cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Krabi.

Rakyat Malaysia terkandas di Krabi dibenar pulang sementara

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang terkandas di Krabi, Thailand, selepas terbabit kemalangan, Abd Wahab Yahaya, 56, dibenarkan pulang sementara ke Malaysia oleh Mahkamah Krabi.

Anaknya, Hasanah Abd Wahab, 34, berkata permohonan ayahnya untuk pulang sementara ke Malaysia diluluskan selepas mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.

“Ayah dibenarkan pulang kerana faktor kesihatan dan perlu menerima rawatan susulan yang diperlukan di Malaysia.

“Bagaimanapun, ayah perlu kembali ke Krabi untuk perbicaraan yang masih belum ditetapkan oleh pihak mahkamah Krabi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasanah berkata, kes berhubung kemalangan ayahnya masih belum selesai dan geran tanah milik Haji Ismail masih berada bersama pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Haji Ismail adalah warga Thailand yang sanggup mencagarkan geran tanahnya bagi membolehkan Abd Wahab diikat jamin.

Keluarga Abd Wahab hanya mengenali Haji Ismail pada 18 Disember lalu, malam sebelum kejadian ketika menjamu selera di restoran milik warga Thailand itu.

“Ayah akan pulang ke Malaysia pada 10 Januari ini dan akan kembali ke Krabi selepas selesai menerima rawatan,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Abd Wahab terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya, manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Malah, keluarga mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000 sebagai ganti rugi atas kemalangan itu.

Abd Wahab perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu.

Berita Harian X