Rabu, 9 Januari 2019 | 10:04pm

Bayi 7 bulan maut di rumah pengasuh

KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia akibat pendarahan dalam kepala ketika dijaga pengasuhnya di sebuah rumah di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini, semalam.

Kejadian disedari ibu mangsa kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika ke rumah pengasuh untuk melihat bayinya sebelum mendapati bayi itu tidak sedarkan diri dan tubuhnya pucat selain bawah mata kanan anaknya lebam serta hidungnya berdarah.

Wanita itu kemudian menghubungi suaminya sebelum mengejarkan bayi mereka ke sebuah klinik swasta di Taman Melati, namun doktor di situ kemudian mengarahkan bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan di HKL.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, berkata bapa mangsa berusia 33 tahun mendakwa anaknya berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuhnya pagi semalam.

“Bedah siasat oleh bahagian forensik HKL mendapati punca kematian bayi berkenaan adalah kecederaan dan pendarahan dalaman di bahagian kepala, mungkin akibat terjatuh.

“Buat masa ini tiada sebarang tangkapan dan siasatan berhubung punca sebenar kejadian ini sedang dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X