Khamis, 10 Januari 2019 | 10:09am
SEORANG lelaki maut selepas ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat angin kencang di Pantai Chenang di sini, malam tadi. - Foto Ihsan pembaca

Maut ditimpa pokok tumbang

LANGKAWI: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera selepas ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat angin kencang di Pantai Chenang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Sukri Koto Alwi, 24, maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa, Chong Win Ken, 26, dan Yong Shui Tian, 24, mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Langkawi (HL) di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika kejadian terdapat beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

"Polis menerima panggilan dari orang awam mengatakan ada kejadian pokok kelapa tumbang di kawasan pantai berhadapan Mali-Mali Beach Resort bersebelahan Kalut Cafe And Bar di Pantai Chenang.

"Sejurus tiba, anggota polis mendapati jumlah mangsa terbabit seramai tiga orang, iaitu seorang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dihantar ke HL untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, terdapat satu video berdurasi enam saat menunjukkan saksi kejadian berusaha memberi bantuan kecemasan kepada Muhammad Sukri Koto tular dalam media sosial.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X