Jumaat, 11 Januari 2019 | 2:45pm
SEORANG bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) ditahan reman hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan wang biasiswa dianggarkan berjumlah RM2.5 juta. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Pembantu tadbir TAPEM ditahan SPRM

MELAKA: Seorang bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) ditahan reman hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan wang biasiswa dianggarkan berjumlah RM2.5 juta.

Lelaki berusia 31 tahun itu direman empat hari hingga 14 Januari selepas perintah dikeluarkan Majistret Analia Kamarudin di Mahkamah Ayer Keroh di sini.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap jingga tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, dalam satu transaksi terkini, SPRM Melaka mendapati suspek memasukkan wang biasiswa pelajar di sebuah sekolah agama milik kerajaan negeri bernilai lebih RM35,400 ke dalam akaun peribadinya.

Sumber berkata, lelaki itu ditahan di FELDA Menggong, Alor Gajah, kira-kira jam 7.15 malam tadi.

“Melalui semakan awal dokumen terbabit mendapati jumlah penyelewengan yang dilakukan oleh suspek sebelum ini mencecah nilai kira-kira RM2.5 juta bagi penyaluran biasiswa untuk diagihkan kepada 77 sekolah di negeri ini,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Berita Harian X