Sabtu, 12 Januari 2019 | 4:50pm
PENGETUA SMK Chung Hua Sibu, Tam Yoh Yin (kiri) menenangkan Hajijah. - Foto ihsan Facebook PPD Sibu

`Terima kasih Allah pinjamkan Aariz Harraz Zahin'

SIBU: “Ku pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi, Ya Allah, terima kasih pinjamkan Aariz Harraz Zahin”.

Itu status yang dimuat naik Hajijah Tahir menerusi akaun Facebooknya hari ini, sebaik mengetahui harapan untuk anaknya, Aariz Harraz Zahin Azman, kembali pulih kini seakan menghampiri noktah.

Aariz Harraz kini hanya bergantung kepada mesin bantuan hayat selepas dipercayai didera pengasuhnya, Selasa lalu.

Luahan Hajijah itu mengundang simpati ramai netizen yang turut mendoakan agar keajaiban memihak bayi berusia sembilan bulan itu.

Catatan Hajijah itu difahamkan dimuat naik selepas doktor mengesahkan otak bayi berkenaan sudah tidak lagi berfungsi, pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata pengesahan itu dibuat doktor selepas pemeriksaan terhadap otak bayi malang itu.

“Masa kematian otak bayi itu direkodkan pada jam 9.10 pagi tadi. Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu belum bersedia menghentikan mesin bantuan oksigen hari ini dan pihak hospital bersetuju dengan permintaan mereka untuk menghentikannya esok,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah suspek di Taman Permai Jaya, di sini, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua-dua matanya selain retak pada kiri kepala akibat hentakan kuat.

Suspek ditahan polis susulan laporan yang dibuat oleh bapa mangsa dan dia kemudian mengakui menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis, selain mendakwa tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Suspek direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Stanley berkata, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai lesen untuk menjalankan pusat asuhan dan hanya membantu menjaga kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapanya pada waktu bekerja.

Berita Harian X