Ahad, 13 Januari 2019 | 8:26am
Lapan ekor ayam yang digunakan untuk bersabung judi ayam dirampas, sangkar ayam dan kerusi plastik turut dirampas dalam serbuan di bawah pokok berhampiran sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belukar. - Foto isan PDRM

Ditahan ketika leka sabung ayam

Gambar Ihsan PDRM

JITRA: Lapan kaki judi yang leka menyabung ayam di bawah pokok berhampiran sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belukar, Mukim Padang Perahu, di Tunjang, tidak sempat melarikan diri apabila ditahan polis, semalam.

Lelaki berusia 28 hingga 69 tahun itu ditahan anggota Task Force, Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam serbuan Ops Dadu pada jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata ketika serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki sedang berdiri melingkungi satu bulatan disyaki terbabit pertaruhan judi ayam.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lapan ekor ayam jantan, empat sangkar ayam, empat kerusi plastik kecil dan alat tembaga yang mempunyai pemegang kayu yang dipercayai digunakan untuk merawat ayam yang cedera akibat bersabung di lokasi itu.

“Berikutan itu, semua barangan dan suspek dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, semua yang ditahan itu berasal dari sekitar Tunjang, Kodiang, Jitra dan Alor Setar yang dipercayai berjudi untuk mendapatkan wang.

Siasatan awal, mereka bekerja sebagai pesawah, pengembala kambing, buruh, peniaga dan ejen insuran.

“Hasil siasatan juga mendapati hanya seorang mempunyai rekod lampau berkaitan kes judi dan semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953,” katanya.

Berita Harian X