Ahad, 13 Januari 2019 | 12:23pm
MOHD Fatyhah (tiga dari belakang) dan Noor Azam Khalid (hadapan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru. - NSTP/Fahmi Yusof

Penjawat awam dipenjara, denda subahat tuntutan palsu

JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dihukum penjara empat tahun dan denda RM55,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan bersubahat dengan pemilik sebuah syarikat berhubung tuntutan palsu, empat tahun lalu.

Mohd Fatyhah Putera Hamzah, 38, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi empat pertuduhan itu, Mohd Fatyhah dituduh sebagai seorang ejen kerajaan iaitu Pembantu Antidadah (Gred S22) bersubahat dengan Noor Azam Khalid iaitu pemilik AK Maju Resources yang memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000, sedangkan semua program berkenaan tidak dilaksanakan.

Semua kesalahan didakwa hasil subahat dilakukan di pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, 2015.

Mohd Fatyhah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 28(1)(C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 18 dan Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Dalam prosiding berasingan, Noor Azam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan invois tuntutan palsu.

Bagi empat pertuduhan ke atasnya, Noor Azam dituduh memberikan invois tuntutan empat program berlainan berjumlah RM8,000 kepada Ketua Antidadah AADK Cawangan Segamat, Naharuddin Nawawi sedangkan program itu tidak dilaksanakan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di pejabat AADK Cawangan Segamat pada 11, 15 dan 27 Februari serta 10 Mac, 2015.

Noor Azam dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta seorang penjamin dan 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi Noor Azam.

Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Nor Syarina Raizan.

Noor Azam diwakili peguam, Rosli Kamaruddin, manakala Mohd Fatyhah tidak diwakili peguam.

Berita Harian X