Ahad, 13 Januari 2019 | 6:29pm
NURUL Ashiella (kiri) dan Nur Azhani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian RM30,838 di sebuah klinik di Kuala Krai, dua tahun lalu. - NSTP/Muhamaad Razis Ismail
NURUL Ashiella (kiri) dan Nur Azhani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian RM30,838 di sebuah klinik di Kuala Krai, dua tahun lalu. - NSTP/Muhamaad Razis Ismail

Dua pembantu klinik mengaku tidak bersalah pecah amanah

KOTA BHARU: Dua pembantu klinik wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan kerugian RM30,838 di sebuah klinik di Kuala Krai, dua tahun lalu.

Nur Azhani Mohamed, 27, dan Nurul Ashiella Mohd Shamsuri, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Nur Azhani didakwa sebagai kerani atau pembantu klinik yang diamanahkan dengan apa-apa kuasa atas harta iaitu wang kutipan Klinik Dr Azhar bernilai RM13,272 melakukan pecah amanah jenayah bagi kegunaan sendiri.

Nurul Ashiella pula sebagai kerani atau pembantu klinik didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM17,566 di klinik sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik Dr Azhar, Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Krai antara 1 Mei 2017 hingga 31 Disember 2017.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Fellina Abu Bakar dan hanya tertuduh Nur Azhani yang diwakili peguam Firdaus Mohd Yusof.

Mahkamah membenarkan Azhani diikat jamin sebanyak RM7,000 manakala Nurul Ashiella pula tidak diberikan jaminan.

Mahkamah menetapkan tarikh 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X