Ahad, 13 Januari 2019 | 7:51pm
ANGGOTA polis bahagian forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan yang dipercayai janin di Bukit Rambai. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Temberang nak cari tanah hitam

MELAKA: “Tiada apa tok, cuma cari tanah hitam,” itu alasan digunakan seorang daripada tiga lelaki yang dipercayai bertindak menanam janin bayi dalam kejadian di kawasan sawah padi, di Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.

Tembelang kumpulan lelaki berkenaan bagaimanapun terbongkar apabila perbuatannya itu dicurigai oleh seorang penduduk kampung, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

Penduduk kampung yang juga saksi kejadian, Ajmihat Kudus, 70, berkata dia tidak menyangka tindakannya yang menukar lokasi mencari rumput untuk angsanya membawa kepada penemuan kumpulan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan rutin hariannya selepas subuh memotong rumput berhampiran rumahnya untuk dijadikan makanan angsa peliharaannya tetapi hari ini dia pergi ke kawasan sawah miliknya untuk memotong rumput.

“Sebaik tiba saya terserempak dengan mereka yang sedang menggali lubang. Ketika ditanya adakah mereka sedang mencari cacing, seorang budak lelaki menjawab yang mereka mencari tanah hitam.

“Curiga dengan tindakan mereka itu yang turut membawa cangkul dan sebuah kotak berwarna cerah, saya berpura-pura terus memotong rumput,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut warga emas itu lagi, sebaik mereka mahu meninggalkan lokasi dia cuba mengamati dan mengingati nombor pedaftaran sebuah daripada dua motosikal dinaiki kumpulan lelaki berkenaan lalu menulisnya di batu bimbang jika terlupa.

“Sebaik perhatikan mereka hilang daripada pandangan saya terus bergegas ke tempat yang digali sebelum melihat ada kesan mencurigakan sebelum melaporkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian serta menerima laporan.

“Kami menerima laporan kira-kira jam 11 pagi serta pasukan forensik sudah ke lokasi kejadian.

“Siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan individu terbabit selain kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X