Selasa, 15 Januari 2019 | 6:18pm
LOO Peng Wah menghadapi 22 tuduhan tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - Foto L Manimaran

Didakwa 224 tuduhan tipu GST bernilai RM19 juta

IPOH: Seorang ahli perniagaan yang sebelum ini menghadapi 22 tuduhan tuntutan palsu bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai lebih RM1 juta, hari ini menghadapi 224 tuduhan sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Loo Peng Wah, 52, mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu yang membabitkan tuntutan bernilai lebih RM19 juta di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Tertuduh didakwa memperguna 60 orang untuk membuat pernyataan atau catatan palsu berhubung cukai input dengan niat untuk memperoleh kredit atau tuntutan balik bagi cukai berkenaan di lima premis sekitar negeri ini, antara November 2015 hingga Mei 2016.

Jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira 45 minit untuk membaca semua tuduhan itu dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga 20 kali ganda daripada amaun cukai atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), S Thanganatchya, manakala Peng Wah diwakili Chan Choon Yew dan Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Azman membenarkan jaminan RM500,000 terhadap Peng Wah dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melapor diri ke pejabat JKDM berhampiran sebulan sekali.

Beliau menetapkan kes itu disebut semula pada 1 Mac ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Thanganatchya menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan atau keseluruhan RM6.72 juta dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh bagaimanapun membantah nilai berkenaan kerana berpendapat jaminan hanya untuk memastikan Peng Wah hadir ke mahkamah dan merayu supaya jaminan dikurangkan kepada RM1,000 bagi setiap pertuduhan atau RM224,000.

Katanya, tertuduh sebelum ini terpaksa merengkuk dalam penjara selama setahun empat bulan kerana tidak mampu membayar jaminan tinggi dikenakan kepadanya bagi kes sebelum ini.

Berita Harian X