Selasa, 15 Januari 2019 | 9:49pm
JENAZAH Aariz Harraz Zahin dibawa keluar dari bilik mayat untuk dimasukkan ke van jenazah sebelum dibawa balik ke kampung Igan untuk dikebumikan. - NSTP/Harun Yahya

Jenazah bayi didera dikebumi malam ini

SIBU: Jenazah bayi lelaki, Aariz Harraz Zahin Azman yang meninggal dunia akibat didera pengasuhnya Ahad lalu, dikebumikan malam ini.

Jenazah Aariz, sembilan bulan, dikebumikan di kampung halaman bapanya di Igan selepas bedah siasat selesai petang tadi.

Menurut bapa mangsa, Azman Ili, 43, jenazah anaknya selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan di rumah mayat Hospital Sibu sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya jam 7.40 malam.

“Saya reda dengan ketentuan ini dan berharap semua urusan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, ketika dihubungi berkata, bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan dalam kepala dan bengkak otak.

“Kesan cedera yang dialami ini konsisten dengan bayi yang digoncang dengan kuat dan bukan disebabkan jatuh atau penyakit.


IBU mangsa, Hajijah Tahir (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak melihat keranda membawa bayinya, Aariz Harraz Zahin dibawa keluar dari bilik mayat untuk dimasukkan ke van jenazah untuk dibawa balik ke kampung Igan untuk dikebumikan. - NSTP/Harun Yahya

“Bedah siasat selesai dijalankan oleh Pakar Patologi dari Hospital Umum Sarawak di Kuching, Dr S Kunasilan jam 5.45 petang tadi,” katanya.

Bayi malang itu disahkan meninggal meninggal dunia selepas menerima rawatan sejak 7 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan lemah ketika diambil dari rumah pengasuh di Taman Permai Jaya, di sini, sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Berdasarkan pemeriksaan pakar kanak-kanak, mangsa disahkan mengalami pendarahan pada otak dan kedua matanya selain mengalami retak pada kiri kepala akibat hentakan kuat.

Seorang wanita berusia 39 tahun kemudian ditahan polis susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa sebelum mendedahkan dia menggoncang bayi terbabit kerana tidak berhenti menangis selain tertekan kerana mengalami kesakitan akibat haid.

Berita Harian X