Rabu, 16 Januari 2019 | 11:17am
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media pada majlis perhimpunan bulanan Bukit Aman, hari ini. - Foto BERNAMA
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media pada majlis perhimpunan bulanan Bukit Aman, hari ini. - Foto BERNAMA

PDRM lantik badan bebas kaji persepsi rasa selamat rakyat - Fuzi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melantik satu badan bebas bagi membuat kajian terhadap tahap sebenar persepsi rasa selamat dalam kalangan rakyat sejajar penurunan kadar jenayah yang dicatatkan negara setiap tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kadar jenayah mencatatkan penurunan positif setiap tahun namun timbul persoalan adakah ia seiring dengan rasa selamat yang dirasai masyarakat.

“Justeru, menerusi mesyuarat bersama semua pengarah jabatan, bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) PDRM dan juga Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) semalam, saya arahkan mereka kenal pasti satu badan bebas yang akan membuat kajian terhadap tahap persepsi rakyat terhadap keselamatan di negara kita.

“Sebelum ini kajian dilakukan secara dalaman PDRM, maka kita tidak mahu ada pihak mengatakan statistik itu adalah hasil manipulasi dan hanya diperbesar-besarkan.. kita tidak mahu ‘syok sendiri’,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya, hasil kajian oleh badan bebas itu nanti digunakan PDRM untuk mendapat petunjuk sebenar berhubung tahap keyakinan dan rasa selamat rakyat.

“Kita sedar kemungkinan tahap itu masih rendah, dan kita ambil maklum perkara itu.

“Kita proaktif dan akan berusaha agar perkara (persepsi) ini dapat diperbaiki daripada masa ke semasa,” kata beliau.

Mohamad Fuzi sebelum itu dalam ucapannya memaklumkan Jenayah Indeks Per 100,000 Penduduk Se-Malaysia mencatatkan penurunan 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang ditetapkan iaitu 100,611 kes untuk tahun lalu.

“Lebih membanggakan, semua negeri di Malaysia turut mencatat penurunan kes mengikut nilai ambang ditetapkan bagi tahun 2018.

“Peningkatan jumlah keahlian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kepada 1.2 juta orang menjadi antara yang menyumbang kepada penurunan kadar jenayah sejak ia dilancarkan 25 Mac 2017,” kata beliau.

Selain itu, katanya elemen rondaan secara berkala oleh Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan kediaman dan perindustrian turut menimbulkan rasa selamat sekali gus membanteras jenayah.

Pada majlis berkenaan, Mohamad Fuzi turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 47 orang pegawai dan anggota PDRM serta sijil penghargaan kepada tiga anggotanya yang menjayakan operasi membanteras dadah lebih 500 kilogram di Hentian Taiping, Lebuh Raya Utara Selatan, Sabtu lalu.

Berita Harian X