Rabu, 16 Januari 2019 | 3:11pm
WANG tunai berjumlah RM10,000 yang dirampas untuk siasatan lanjut. - Foto Harun Yahya

Padah cuba sogok RM10,000

SIBU: Cubaan seorang lelaki berusia 45 tahun memberi sogokan RM10,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai imbuhan bagi melepaskan balak haram dirampas mengundang padah selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 10, Superintendan Sanudin Mohd Isa, berkata kejadian berlaku apabila lelaki itu mengajak anggotanya bertemu di sebuah restoran di Sungai Merah, di sini atas alasan mahu mengemukakan dokumen sah kayu balak dirampas dalam satu operasi, pagi semalam.

“Pada jam 7 pagi semalam, satu serbuan dilakukan di sebuah pusat pengumpulan balak Pasai Siong di pinggir bandar ini. Ia turut disertai anggota penguat kuasa dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan turut dipantau SPRM.

“Hasil serbuan membawa kepada rampasan 70 kayu balak pelbagai saiz dan spesies tanpa dokumen sah berkaitan, selain dipercayai diperoleh secara haram,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Turut dirampas, tiga jentera berat, selain dua mesin gergaji kayu dengan keseluruhan barang dirampas bernilai lebih RM200,000.

Sanudin berkata, pegawai bertugas kemudian mengarahkan pekerja di kem balak berkenaan menghubungi majikan mereka bagi mengemukakan permit atau dokumen berkaitan.

Katanya, ia disusuli pertemuan dengan seorang lelaki yang mengaku majikan pekerja berkenaan cuba merasuah anggota bertugas sebelum dicekup SPRM.

“Wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai wang sogokan turut dirampas daripada suspek untuk siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati sindiket pembalakan haram ini beroperasi sejak enam bulan lalu. Berdasarkan modus operandi, kesemua kayu dipotong dan dikumpulkan sehingga jumlah yang banyak.

“Ia kemudian dihanyutkan melalui sungai kecil di Pasai Siong sehingga ke Sungai Batang Igan sebelum diangkut menggunakan tongkang untuk diproses dan dijual,” katanya.

Kes disiasat mengikut Ordinan Hutan Sarawak 2015 dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X