Jumaat, 18 Januari 2019 | 2:56pm

Padah merompak

MELAKA: Padah melakukan rompakan, seorang lelaki dipenjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas kesalahan merompak beg tangan, Disember tahun lalu.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Fadhir Ismail, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak beg tangan berjenama Sammao milik seorang lelaki berusia 43 tahun di kawasan berhampiran sebuah restoran di Jalan Persisiran Bunga Raya Pantai, jam 11.40 malam, pada 31 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh supaya dijadikan pengajaran, selain tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara empat tahun serta dikenakan dua sebatan.

Berita Harian X