Ahad, 20 Januari 2019 | 2:42pm
AKAUN facebook Adun Bekenu yang digunakan individu bagi memperdayakan mangsa. - Foto Ihsan Pembaca

'Scammer' menyamar jadi YB

MIRI: Pelbagai taktik licik digunakan sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’, termasuk kes terbaru menyamar sebagai wakil rakyat untuk memperdayakan mangsa.

Modus operandi itu terbongkar susulan kewujudan akaun Facebook (FB) menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus.

Status di laman sosial itu mendakwa kononnya wakil rakyat itu mahu menyalurkan sejumlah peruntukan untuk program kebajikan.

Ia didedahkan seorang usahawan, Matassan Rohani, 31, selepas dihubungi seorang individu dipercayai pengendali akaun FB berkenaan, Jumaat lalu.

Beliau berkata, individu terbabit menggunakan nama dan gambar sama seperti akaun rasmi ADUN berkenaan dan memberitahu akan menyalurkan peruntukkan bantuan kepadanya kononnya untuk kebajikan rakyat.

“Individu terbabit menyatakan sejumlah AS$150,000 (RM616,877.78) diperuntukkan untuk bantuan pesara, bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dan bantuan persekolahan.

“Bagaimanapun, saya diminta menghubungi satu nombor kononnya sebagai ‘ejen tuntutan’ bagi mendapatkan peruntukan itu. Selepas dihubungi, sindiket berkenaan meminta saya membuat sejumlah bayaran dulu sebelum peruntukkan itu dapat disalurkan,” katanya.

Katanya, taktik sama digunakan oleh ‘scammer’ yang sering memperdayakan orang ramai sebelum ini.

Sementara itu, Rosey melalui laman rasmi FB miliknya turut menafikan beliau memberi sebarang peruntukan seperti didakwa, malah laporan polis juga sudah dibuat berhubung kejadian itu di Balai Polis Gita pada Jumaat lalu.

Berita Harian X